Seksyen 45 Akta Perlindungan Pengguna ibarat senjata tajam kepada peniaga
Ramai pengguna tidak tahu dan sedar akan hak mereka sedangkan perlindungan yang diberikan kepada pengguna berdasarkan Akta Perlindungan Pengguna 1999 (“APP”) boleh tahan padunya.
“Perayu telah memilih opsyen untuk menolak Kereta tersebut dan bukan membaikinya. Oleh itu tidak timbul isu perayu telah ketepikan hak beliau di bawah Akta tersebut kerana melarang responden dari baiki Kereta tersebut. Tambahan pula Akta tersebut wajib digunapakai bagi semua barang yang dibekalkan kepada pengguna.”
Kita boleh lihat bagaimana kuasa pengguna benar-benar diaplikasi dalam kes Zamri bin Ibrahim v. Lee Motors Auto Care Sdn Bhd [2018].
Dalam kes tersebut, Zamri telah membeli kereta berjenama BMW daripada Responden, Lee Motors Auto Care dengan harga RM372,700.00
Namun baru 2 bulan menggunakannya, kenderaan tersebut telah rosak. Beliau menghantar kenderaan itu semula ke bengkel Responden dan setelah diarah untuk mengambil semula kenderaannya, Zamri mendapati banyak peralatan yang telah hilang, ditukar dan kerosakan yang mengakibatkan ia tidak dapat digunakan langsung.
Walaupun aduan dibuat terhadap Responden berkenaan perkara ini, tiada tindakan yang diambil.
Beliau kemudian mengeluarkan notis di bawah seksyen 45 APP menolak kereta tersebut kembali kepada Responden dan menuntut ganti rugi.
Seksyen 45 (1) APP menyatakan;
“(1) Pengguna hendaklah menggunakan hak yang diberikan di bawah Akta ini untuk menolak barang dengan cara memberitahu pembekal tentang keputusan untuk menolak barang itu dan tentang alasan atau alasan-alasan bagi penolakan itu.”
Zamri kemudian memfailkan saman di Mahkamah Sesyen dan satu Notis Permohonan Injunksi menghalang Responden dari mengeluarkan kereta beliau dari bengkel Responden sehingga kes ini selesai. Selepas permohonan Zamri gagal di Mahkamah Sesyen, beliau mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi.
Responden (bengkel) mendakwa tidak bertanggungjawab terhadap kenderaan tersebut setelah mengarahkan Zamri untuk mengambil semula keretanya walaupun tidak diambil. Berkenaan isu ini, mahkamah memutuskan seperti berikut;
“Responden sendiri telah tidak mematuhi syarat di bawah Notis Kedua tersebut untuk melepaskan tanggungjawab terhadap Kereta tersebut apabila masih menyimpannya selepas 28.2.2015 dan tidak mengeluarkan Kereta tersebut dari kawasannya. Responden tidak boleh terus menyimpan Kereta tersebut tapi mengaku tidak bertanggungjawab terhadapnya.”
Berkenaan barang alat ganti kereta yang hilang, mahkamah memutuskan seperti berikut;
“Ini adalah bukti jelas bahawa kejadian peralatan-peralatan didapati hilang, ditukar dan dirosakan berlaku dalam bengkel responden semasa Kereta tersebut masih berada di bawah tanggungjawab responden.”
Mahkamah juga memutuskan bahawa Zamri berhak menggunakan opsyen sama ada mahu menolak kereta tersebut kepada Responden atau memperbaikinya, seperti yang disediakan di bawah seksyen 46 APP. Seksyen 46 APP menyatakan;
Pilihan pengguna untuk mendapat bayaran balik atau gantian
46. (1) Jika pengguna menggunakan hak untuk menolak barang yang diberikan di bawah Akta ini, pengguna boleh memilih untuk mendapat—
(a)bayaran balik apa-apa wang yang dibayar atau apa-apa balasan lain yang diberikan oleh pengguna berkenaan dengan barang yang ditolak itu;
atau
(b)barang yang sama jenisnya dan serupa nilainya untuk menggantikan barang yang ditolak itu jika barang itu boleh didapati dengan semunasabahnya oleh pembekal sebagai sebahagian daripada stok pembekal, dan pembekal hendaklah membuat peruntukan yang sewajarnya
Mahkamah seterusnya memutuskan;
Hakim kemudian menyatakan seperti berikut;
“Tindakan Responden menafi bertanggungjawab ke atas Kereta tersebut tetapi pada masa yang sama merungkai peralatan-peralatannya adalah tindakan yang keji (‘despicable’) dan tidak bermaruah. Ini adalah lebih-lebih lagi Kereta tersebut pada setiap masa berada dalam premis responden dan dalam keadaan berkunci. Dalam keadaan tersebut tidak mungkin responden tidak ada pengetahuan tentang peralatan Kereta tersebut yang hilang, ditukar dan dirosakkan.”
Akhirnya mahkamah memberikan kemenangan kepada Perayu (Zamri) dan membenarkan tuntutan sebanyak RM39,001.61 deposit yang telah dibayar kepada Responden dipulangkan kembali kepada Perayu, RM455,238.43 sebagai bayaran ‘Hire Purchase’ yang telah dibayar oleh Perayu kepada Maybank diganti semula oleh Responden, kehilangan hak mengguna kereta pada kadar sewa RM200 sehari berjumlah RM199,600.00, ganti rugi am bagi kesusahan, kesedihan dan ketidakselesaan sebanyak RM80,000.00, dan kadar faedah pada kadar 5% setahun.
Comments
Post a Comment