"Lawan tetap lawan!" Papagomo beritahu Ketua Polis Negara


"LAWAN TETAP LAWAN!"

Itu respon yang diberikan oleh blogger dan aktivis Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Sir Azri @ Papagomo di platform media sosial X mengenai kes tuntutan saman fitnah yang dikemukakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Peguam Raam Kumar yang mewakili Razarudin memaklumkan notis tuntutan saman berkenaan difailkan pada Khamis lepas (26 Dis) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Tetuan K.B.Tan, Kumar & Partners.

Beliau berkata tuntutan saman itu dihantar kepada Wan Muhammad Azri petang semalam.

Raam menyatakan anak guamnya menyaman blogger terbabit berhubung kenyataan fitnah yang melabelkan beliau sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan, ganti rugi fitnah bertulis, ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan dan ganti rugi khas,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Raam berkata Razarudin turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan sama ada secara sendiri atau pekerja atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata dianggap fitnah selain menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.

Selain itu, Raam berkata ketua polis negara juga menuntut defendan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan atau memadamkan serta memusnahkan kesemua video, penerbitan dan mesej atau material yang merupakan fitnah oleh defendan.

“Plaintif turut menuntut defendan membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan melalui semua akaun laman sosial dan media massa dan media dalam talian dengan kandungan permohonan maaf harus dipersetujui terlebih dahulu oleh plaintif,” katanya.

Comments

Join the biggest Legal Community Group in Malaysia On Facebook

Like our page on Facebook

Total Visitors